HitamPutih: Harapan
Wednesday, November 9, 2011
Kenikmatan Di sebalik Kesakitan
Tahukah kita bahawa di sebalik kesakitan yang kita perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya? Tetapi betapa sikitnya umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini walaupun mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.
Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka sekali gus telah melenyapkan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."
Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."
Betapa Beruntungnya Orang yang Sakit
Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."
Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan seksaan di dunia."
Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."
Ulama' Mengharapkan Sakit
Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya para ulama' dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."
Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.
Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan rahmat-Nya, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi kerana mereka sakit.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."
Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.
Jangan Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan
Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: "Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan(6)."
Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.
Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada Allah, janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus asa kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.
Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya, maka Allah akan memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika hambanya bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai satu doa, bahkan Allah akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya sebagaimana hadis riwayat oleh Imam Ahmad:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu terhadapnya."
Akhir kalam, Sentiasalah bersabar atas dugaan kesakitan yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai oleh-Nya. Mungkin nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila dihisab di akhirat nanti. Wallahua'lam.
Dipetik dari http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kesihatan/3900-kenikmatan-di-sebalik-kesakitan.html
SETEGUK KASIH ILAHI... |
Kalau hari ini cuaca mendung, kalau hari ini hujan turun.....aku mengeluh.... "Alamakkk,hujan pulak. Macam mana baju nak kering.... macam mana nak naik motor pergi kerja ni". Kalau hari ini cuaca panas terik, aku mengeluh juga. "Ish...panasnya..membahang..kalau hujan kan best". Namun DIA setia melayani kehendakku sepanjang masa, tidak mengira cuaca, tidak mengira masa.
Hari ini kuperolehi gaji pertamaku bekerja. Alhamdulillah.... dapat juga aku merasakan keluarga kegembiraan ini. Dapat juga aku merasai jerih payah mencari rezeki jika selama ini aku sentiasa diimbuhkan kesenangan. Namun sedikit cuma kuingat pada-Nya. Teringat aku ketika menganggur dulu... DIA tempatku mengadu. Mengapa payah sangat untukku mendapat kerja, mencari rezeki.
DIA lah kekasih sejatiku, sentiasa menenangkan aku bila kesusahan. Apabila aku bersedih, kusembamkan kemurungan disisi-Nya. DIA tak pernah menolak kehadiranku, malah disambutnya dengan mesra sepanjang masa. Pengaduanku tak pernah gagal, pasti ku kembali dengan hati yang tenang dan bahagia. DIA sememangnya kekasih yang hebat.
Namun kini, apabila aku bekerja.... aku mula dihimpit kesibukan. Mula diralit keseronokan tugas dan rakan-rakan. Aku dan DIA mula berjauhan. Semakin jarang pengaduan yang kuucapkan padanya. Semakin jarang aku berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan-Nya.Semakin jauh kutinggalkan-Nya. DIA hanya memerhatiku dari jauh. Malah aku semakin melupakannya. Suruhan-Nya, nasihat-Nya kadang-kala kutinggalkan semata-mata kerana keletihan dengan tugas seharian. DIA semakin menjauh hanya kerana aku meminggirkan-Nya. Kasih dan sayangku terhakis sedikit demi sedikit. DIA tak pernah marah. DIA tak pernah merajuk. DIA tetap setia denganku. Keperluanku tetap terjaga rapi. Kehendakku seringkali dipenuhi. Hanya aku yang lupa diri. Begitu mudah aku melupakan-Nya namun kasih-Nya sedikitpun tidak berubah. Sayang-Nya kepadaku ampuh seperti dulu.
Bila kesusahan kembali menerpa, aku tersentak seketika. Ingatanku padanya kembali semula. Kerinduan menjelma lagi. Dengan rendah hati, aku kembali pada-Nya. Mengadu kasih, rindu, kesulitan dan segalanya pada-Nya. DIA setia di situ, menantiku kembali. Begitu mudah dia memaafkanku. Begitu mudah DIA menerimaku tanpa sekelumit rasa benci. Tulus-Nya kasih-Mu mendamaikan hatiku. Di sisi-Nya, aku rebah kembali. Menginsafi kealpaan diri. DIA masih sudi menerimaku, jelas kasih-Nya tidak bertepi. Hanya aku
insan yang mudah lupa diri. Kasih-Nya kasih yang sejati, kasih-Nya tulus dan hakiki. Di subuh yang mendamaikan, dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia, ku sucikan diri. Ku lengkapi diri untuk menghampiri-Nya semula, meneguk dingin kasih-Nya seperti dulu.
"Ya Alllah..... aku hamba-Mu yang alpa. Ampunilah kesilapanku. Sucikanlah hatiku dari titik-titik hitam noda dan dosa. Terangkanlah hatiku agar aku sentiasa mendapat Syafaat dari-Mu".
"Ya Allah, kusyukuri nikmat dan rezeki yang telah KAU limpahkan kepada-Ku. Janganlah KAU tarik segala nikmat itu kerana aku amat memerlukan-Nya."
"Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkanku keluarga yang bahagia, insan-insan di sekitar yang begitu menyayangiku serta ibu bapa yang penyayang . Kau peliharalah mereka dengan baik, malah lebih baik daripada mereka memeliharaku . Cucurilah rahmat-Mu kepada semua yang telah banyak berjasa kepadaku."
"Ya Allah, dengan hati yang tulus, kumohon kemaafan dari-Mu. Ampunilah segala kealpaanku, ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya, KAU tetap mengingatiku walaupun aku melupakan-Mu.Ku mohon petunjuk dan hidayah dari-Mu. Tunjukkanlah aku jalan yang benar, yang sentiasa diredhai oleh-Mu. Lindungilah aku dari segala mara bahaya dan petaka, lindungilah aku dari gangguan dan hasutan syaitan yang direjam, jauhilah aku dari perkara-perkara mungkar. Kau teguhkanlah imanku, tingkatkanlah ketakwaanku. Permudahkanlah segala urusanku, berkatilah segala usahaku. Semoga hidup matiku kekal dalam ad-Din-Mu, dan semoga aku dapat menjadi umat Muhammad yang sejati. "
Malam merangkak pergi. Kasihku bertaut kembali. Air mataku menyapu pergi segala resah yang membelenggu diri. Jiwaku tenang dibelai kasih-MU. Dan kini kuberjanji pada diri sendiri akan teguh mengasihi-Mu sehingga ke akhir hayatku. Sesungguhnya, kasih-Mu kasih yang sejati. Seteguh kasih ILAHI.
Tuesday, October 18, 2011
Jelajah Kehidupan
Meniti jam 2 pagi, masih melepak di kedai makan yang agak terkenal dalam kalangan pelajar UPSI. Bukan lah membazir masa itu semata-mata untuk melepak, tapi mengambil peluang untuk meneliti kembali, apakah permasalahan yang timbul dalam kehidupan ini yang menyebabkan ia menjadi tidak terurus, masa yang sering tidak cukup, memonteng kelas dan sebagainya. Kesimpulannya mudah. Sikap!
Monday, October 17, 2011
Ini adalah penulisan sekretariat Minggu Suai Kenal sesi September 2011. Terpahat dalam memori, meninggalkan seribu satu kenangan, membawa bersama seribu satu pengajaran...
Pengenalan
Penghasilan buku ini dilihat semakin perlu untuk memberi sedikit persediaan awal kepada mahasiswa mahasiswi baru UPSI dalam menempuh dunia institusi pengajian tinggi. Kita sedia maklum, dunia yang baru ditempuhi merupakan dunia yang ternyata berbeza jika dibandingkan dengan dunia persekolahan. Mahasiswa dan mahasiswi akan berhadapan dengan banyak cabaran-cabaran dalam meniti usia sebagai penuntut universiti.
Buku ringkas ini berkisar mengenai hidup sebagai mahasiswa atau mahasiswi dalam menjaga adab-adab sebagai seorang penuntut ilmu. Selain itu, pengkhususan juga diberikan terhadap kepentingan dalam menuntut ilmu. Akhir sekali, diselitkan juga beberapa panduan atau tips untuk mencapai kejayaan.
Luangkan sedikit masa saudara untuk membaca, semoga penulisan ringkas ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat kepada kalian dalam kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi baru Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Akhir kata, semoga saudara dapat menempuh perjalanan ini dengan jayanya, selamat menjalani sebuah kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :
“Sesiapa berjalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkannya jalan ke syurga.”
“Sesiapa berjalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkannya jalan ke syurga.”
Riwayat Muslim
Imam Al-Ghazali pernah berkata:
“Orang yang mempunyai ilmu berada dalam keadaan yang berikut.
Mencari dan memanfaatkan ilmu.
Mencari ilmu sehingga tidak perlu bertanya lagi.
Memberikan wawasan ilmu dan mengajarkannya dan kerja ini
adalah yang termulia baginya. Oleh itu sesiapa yang
memperoleh ilmu kemudian memanfaatkan
dan diajarkan kepada orang lain diumpamakan
seperti matahari yang bersinar dan menyinari
orang lain. Ia juga laksana kasturi yang
mengharumkan dan ia sendiri harum.”
Abdul Salam Yusof:2003
Adab-adab menuntut ilmu
Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:
●●●
"Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]
●●●
Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa adab yang sebaik-baiknya diamalkan semasa kita menuntut ilmu supaya ilmu itu diberkati oleh Allah SWT :
· Niat yang ikhlas
· Beradab dengan orang yang memberi ilmu
· Bersabar dalam menuntut ilmu
· Tulis setiap yang dipelajari
· Rendah diri
· Menjahui dari kenyang yang berlebihan
· Tidur yang sedikit
· Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat
Selain itu, kita selaku pelajar sebenarnya mengharapkan keberkatan dalam kehidupan serta kemudahan dalam menuntut ilmu. Oleh itu, beberapa perkara di bawah seharusnya diberi perhatian.
◊ Adab dengan Pencipta
Berusaha sedaya upaya untuk taat dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
◊ Adab dengan ibu bapa
Jangan melupakan mereka walau diperantauan, doakan kesejahteraan mereka serta mohon restu dan doa daripada mereka, yakinlah, ia perkara yang penting.
◊ Adab dengan guru
Hormat, patuh dan berbuat baik kepada pemberi ilmu, dengan izin Allah, ilmu yang diperoleh akan dilimpahi keberkatan.
◊ Adab dengan sahabat
· Menjaga hubungan, jangan dicemari dengan perkelahian.
· Jauhi hasad dengki antara sahabat. Bersainglah secara sihat.
· Ada ketikanya orang disekeliling kita ditimpa musibah, seandainya mampu, bantulah seikhlasnya.
· Lumrah berukhuwwah, ada yang akan tersinggung. Memohon kemaafan serta memberi kemaafan antara sabahat dengan ikhlas, Insyaallah akan beroleh ketenangan.
●●●
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat."
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat."
Khalifah Abdul Malik bin Marwan
●●●
3.0 Resipi untuk berjaya
v Bersikap positif
Ø Yakin dengan janji-janji Allah buat mereka yang berusaha.
●●●
“ Mereka yang berjihad / bermujahadah (bersungguh-sungguh) di jalan Kami, pasti akan Kami tunjuki (beri hidayah) jalan-jalan Kami ; sungguh, Allah bersama orang yang berbuat baik “ (Surah Al-‘Ankabut 69)
●●●
Ø Jangan bersikap lemah.
●●●
“Sesetengah orang menganggap rintangan sebagai batu penghalang, yang lain menganggapnya sebagai batu loncatan”
●●●
Ø Lupakan kegagalan dan kesilapan lalu. Tidak ada orang yang tidak ada masa silam.
●●●
"Orang bijaksana tidak sesekali duduk meratapi kegagalannya, tapi dengan lapang hati mencari jalan bagaimana memulihkan kembali kerugian yang dideritainya."
v Amalan seharian
Ø Jadikan membaca Al-Qur’an sebagai amalan harian.
●●●
“Kalangan orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d 28)
●●●
Ø Al-Ma’thurat
Al- Syahid Imam Hassan Al Banna telah membina jalan yang baik untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW. Beliau telah memilih dan menyusun Al-Ma'thurat dgn mengharapkan bimbingan daripada Allah SWT agar terhindar daripada gangguan syaitan. Al-Ma'thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
v Berdoa senjata diri
Ø Berdoa dengan hati yang ikhlas dan luhur.
●●●
Berdoalah kepada-Ku akan Aku perkenankan permintaanmu. (Al-Mukmin 60)
●●●
v Memuhasabah diri
Ø Muhasabah diri adalah satu sikap yang harus disistemkan dalam amalan seharian.
Ø Setiap manusia melakukan kesilapan tak kiralah siapa dia. Yang membezakan kita adalah keimanan dan ketakwaan kita. Jika kita seorang yang bertakwa kita akan sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat di atas kesilapan kita
●●●
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: "Lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat reda nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimkan diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramal dengan apa yang sahih tanpa bertolak ansur terhadap perkara yang salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas."
(Kitab Qawaid al-Tasawuf)
●●●
v Solat kekuatan diri
Ø Berusaha bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan lima waktu dengan hati yang ikhlas walau dalam kesibukan.
●●●
“Telah dijadikan penyejuk hatiku di dalam solat.”
(hadis Riwayat Ahmad)
●●●
●●●
“Janganlah kamu meninggalkan solat dengan sengaja kerana sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, penjagaan atau pemeliharaan Allah dan RasulNya telah terlepas dari dirinya.” (Riwayat Imam Ahmad)
v Istiqamah
◊ Akhir sekali, berusahalah pula untuk istiqamah, iaitu berterus-terusan dalam berusaha.
●●●
Imam Al-Qurtubi berkata: Hati yang istiqamah adalah jalan menuju keberhasilan di dunia dan keselamatan dari azab akhirat. Hati yang istiqamah akan membuat seseorang dekat dengan kebaikan, rezekinya akan dilapangkan dan akan jauh dari hawa nafsu dan syahwat. Dengan hati yang istiqamah, maka malaikat akan turun untuk memberikan keteguhan dan keamanan serta ketenangan dari ketakutan terhadap adzab kubur. Hati yang istiqamah akan membuat amal diterima dan menghapus dosa.”
●●●
4.0 Idola Terbaik Sepanjang Zaman
Dalam sebuah buku tulisan Michale H. Hart, ‘The 100 : A Ranking of the Most Influential Persons in History’, penulisnya telah menyenaraikan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama sebagai insan paling berpengaruh di dunia. Bagi umat Islam, seharusnya baginda Rasulullah SAW merupakan contoh utama dan terbaik sepanjang zaman. Sifat-sifat baginda harus diikuti supaya menjadi insan-insan yang hebat.
v Amanah
◊ Melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya.
◊ Tidak mengkhianati sebarang tanggungjawab.
●●●
Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya" (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya" (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)
●●●
Ø Menyedari setiap amanah yang dipikul akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
v Siddiq (Benar)
◊ Sentiasa benar pada perbuatan, perkataan dan hati.
◊ Tetap pendirian, membenarkan perkara yang hak dan sebaliknya sekalipun berat.
◊ Tidak memungkiri janji.
◊ Menjauhi perbuatan mengumpat dan memfitnah
◊ Berkata-kata dengan lemah lembut dan berhikmah.
●●●
Dari Abdullah bin Mas’ud ra, dari Nabi Muhammad SAW bahwasanya beliau bersabda. ‘Sesungguhnya sidiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada surga. Dan seseorang beperilaku sidiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Sementara kedustaan akan membawa pada keburukan, dan keburukan akan mengantarkan pada api neraka. Dan seseorang berperilaku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta. (HR. Bukhari)
●●●
v Tabligh(Menyampaikan)
◊ Berusaha menyampaikan atau mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada orang lain.
●●●
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
●●●
v Fathanah (Kebijaksanaan)
◊ Bijaksana dalam mengambil apa jua tindakan dalam kehidupan.
◊ Mengatur perbicaraan dengan lembut dan hikmah.
◊ Membuat pertimbangan yang wajar sebelum membuat keputusan.
Tanamkan sifat-sifat ini dalam diri kita mulai saat ini. Banyakkan pengetahuan berkenaan baginda Nabi Muhammad SAW, ketahui kisah hidup baginda Rasulullah SAW, kerana hanya dengan cara itu, kita akan kenal peribadi baginda dan dapat memupuk rasa kecintaan kepada Baginda SAW. Sesungguhnya, kehidupan Rasulullah adalah contoh terbaik kepada umat manusia.
●●●
Penutup
Dunia kampus, lebih-lebih lagi buat pelajar sarjana muda merupakan pengalaman yang pasti sangat sukar dilupakan walaupun usia telah pun menjejak dewasa. Keindahan suasana kampus dan ukhuwwah yang terbina dari hati yang ikhlas akan terpahat di satu sudut hati menjadi kenangan manis sepanjang usia yang ada. Jangan sesekali mensia-siakan ruang yang ada, gunakanlah sebaik mungkin untuk mengisi ilmu penuh di dada.
Saudara, saya yakin dan percaya, insan-insan yang membaca risalah ringkas tulisan saya ini merupakan insan-insan yang hebat. Tidak semua remaja yang sebaya dengan saudara di luar sana mampu menjejak menara gading, lebih-lebih lagi Universiti Pendidikan Sultan Idris. Percaya lah, saudara adalah ‘the best of the best’. Saya mengharapkan saudara akan terus mengasah kekuatan agar suatu masa nanti menjadi insan yang jauh lebih hebat demi menegakkan syariat Islam.
Saya ingin meminjam kata-kata semangat dari Dr. Kamariah Kamaruddin, “Ayuh mahasiswa bestari, tunaikan harapan ayah bonda, pungut pengalaman, kutip kenangan sebagai bekalan kedewasaan. Ayuh mahasiswa berani, kejapkan diri dengan iman, teguh merentangi dugaan, sabar berdepan dengan ujian sebagai benteng kekuatan. Perjuangan tidak pernah usai, pengetahuan tidak pernah selesai, raihlah ilmu, kenalilah guru dan anda akan kenali diri!
Senyum lah saudara, kejayaan dihadapan mata saudara. Langkah yang pertama sudah pun saudara lakukan. Teruskan langkahan itu menuju kejayaan yang hakiki. Harus disemat dalam sanubari bersama, matlamat yang sebenar adalah dunia yang abadi, selitkan kata-kata "Bekerjalah kamu seolah-olah akan hidup untuk seribu tahun lagi, dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok" dalam diri. Jadilah insan yang melakukan sesuatu hanya kerana Tuhannya. Dengan izin Allah, semuanya akan dikira sebagai ibadah.
Akhir kalam, kepada Allah jua saya memohon pertolongan, moga kita dikurniakan keikhlasan serta kejujuran, dipimpin dan dibimbing kearah matlamat yang suci, agar Dia tidak membiarkan kita terumbang-ambing dalam arus dunia yang kian banyak dugaannya. Amin.
Rujukan
Razali Saaran. (2010). Hebatnya cara Rasulullah mendidik. Kuala lumpur : Mustread Sdn. Bhd.
Danial Zainal Abidin. (2009). Tip-tip cemerlang daripada Al-Quran. Kuala Lumpur : PTS Millennia Sdn.Bhd.
Kamariah Kamaruddin. (2009). Berapa harga segulung ijazah. Petaling Jaya : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Hanafi Mohamed. (2003). Penyakit rohani dan rawatannya dalam Islam. Kuala Lumpur : Pustaka haji Abdul Majid.
Awaluddin Mohd Napiah. (2010). Lembutkanlah hatimu. Petaling Jaya : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Muhammad Rashidi Wahab. (n.d). Ikhlas muhasabah diri cara berkesan baiki kelemahan ummah . Berita Harian. Retrieved August 25, 2011, from http://www.mukmin.com.my/baca.php?id=290&kategori=12
Mencapai Hati yang Istiqamah. (2006). Retrieved August 25, 2011, from http://senyuman.wordpress.com/2006/10/13/mencapai-hati-yang-istiqamah/
Subscribe to:
Posts (Atom)