Wednesday, November 9, 2011

Lagu Pilihan...

Hayati lirik ini.

Kenikmatan Di sebalik Kesakitan


Tahukah kita bahawa di sebalik kesakitan yang kita perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya? Tetapi betapa sikitnya umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini walaupun mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.
Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka sekali gus telah melenyapkan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."
Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."
Betapa Beruntungnya Orang yang Sakit
Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."
Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan seksaan di dunia."
Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."
Ulama' Mengharapkan Sakit
Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya para ulama' dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."
Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.
Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan rahmat-Nya, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi kerana mereka sakit.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."
Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.
Jangan Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan
Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: "Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan(6)."
Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.
Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada Allah, janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus asa kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.
Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya, maka Allah akan memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika hambanya bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai satu doa, bahkan Allah akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya sebagaimana hadis riwayat oleh Imam Ahmad:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu terhadapnya."


Akhir kalam, Sentiasalah bersabar atas dugaan kesakitan yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai oleh-Nya. Mungkin nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila dihisab di akhirat nanti. Wallahua'lam.

Dipetik dari http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kesihatan/3900-kenikmatan-di-sebalik-kesakitan.html

SETEGUK KASIH ILAHI...


Kalau hari ini cuaca mendung, kalau hari ini hujan turun.....aku mengeluh.... "Alamakkk,hujan pulak. Macam mana baju nak kering.... macam mana nak naik motor pergi kerja ni". Kalau hari ini cuaca panas terik, aku mengeluh juga. "Ish...panasnya..membahang..kalau hujan kan best". Namun DIA setia melayani kehendakku sepanjang masa, tidak mengira cuaca, tidak mengira masa.

Hari ini kuperolehi gaji pertamaku bekerja. Alhamdulillah.... dapat juga aku merasakan keluarga kegembiraan ini. Dapat juga aku merasai jerih payah mencari rezeki jika selama ini aku sentiasa diimbuhkan kesenangan. Namun sedikit cuma kuingat pada-Nya. Teringat aku ketika menganggur dulu... DIA tempatku mengadu. Mengapa payah sangat untukku mendapat kerja, mencari rezeki.

DIA lah kekasih sejatiku, sentiasa menenangkan aku bila kesusahan. Apabila aku bersedih, kusembamkan kemurungan disisi-Nya. DIA tak pernah menolak kehadiranku, malah disambutnya dengan mesra sepanjang masa. Pengaduanku tak pernah gagal, pasti ku kembali dengan hati yang tenang dan bahagia. DIA sememangnya kekasih yang hebat.





Namun kini, apabila aku bekerja.... aku mula dihimpit kesibukan. Mula diralit keseronokan tugas dan rakan-rakan. Aku dan DIA mula berjauhan. Semakin jarang pengaduan yang kuucapkan padanya. Semakin jarang aku berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan-Nya.Semakin jauh kutinggalkan-Nya. DIA hanya memerhatiku dari jauh. Malah aku semakin melupakannya. Suruhan-Nya, nasihat-Nya kadang-kala kutinggalkan semata-mata kerana keletihan dengan tugas seharian. DIA semakin menjauh hanya kerana aku meminggirkan-Nya. Kasih dan sayangku terhakis sedikit demi sedikit. DIA tak pernah marah. DIA tak pernah merajuk. DIA tetap setia denganku. Keperluanku tetap terjaga rapi. Kehendakku seringkali dipenuhi. Hanya aku yang lupa diri. Begitu mudah aku melupakan-Nya namun kasih-Nya sedikitpun tidak berubah. Sayang-Nya kepadaku ampuh seperti dulu.

Bila kesusahan kembali menerpa, aku tersentak seketika. Ingatanku padanya kembali semula. Kerinduan menjelma lagi. Dengan rendah hati, aku kembali pada-Nya. Mengadu kasih, rindu, kesulitan dan segalanya pada-Nya. DIA setia di situ, menantiku kembali. Begitu mudah dia memaafkanku. Begitu mudah DIA menerimaku tanpa sekelumit rasa benci. Tulus-Nya kasih-Mu mendamaikan hatiku. Di sisi-Nya, aku rebah kembali. Menginsafi kealpaan diri. DIA masih sudi menerimaku, jelas kasih-Nya tidak bertepi. Hanya aku
insan yang mudah lupa diri. Kasih-Nya kasih yang sejati, kasih-Nya tulus dan hakiki. Di subuh yang mendamaikan, dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia, ku sucikan diri. Ku lengkapi diri untuk menghampiri-Nya semula, meneguk dingin kasih-Nya seperti dulu.

"Ya Alllah..... aku hamba-Mu yang alpa. Ampunilah kesilapanku. Sucikanlah hatiku dari titik-titik hitam noda dan dosa. Terangkanlah hatiku agar aku sentiasa mendapat Syafaat dari-Mu".

"Ya Allah, kusyukuri nikmat dan rezeki yang telah KAU limpahkan kepada-Ku. Janganlah KAU tarik segala nikmat itu kerana aku amat memerlukan-Nya."

"Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkanku keluarga yang bahagia, insan-insan di sekitar yang begitu menyayangiku serta ibu bapa yang penyayang . Kau peliharalah mereka dengan baik, malah lebih baik daripada mereka memeliharaku . Cucurilah rahmat-Mu kepada semua yang telah banyak berjasa kepadaku."



"Ya Allah, dengan hati yang tulus, kumohon kemaafan dari-Mu. Ampunilah segala kealpaanku, ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya, KAU tetap mengingatiku  walaupun aku melupakan-Mu.Ku mohon petunjuk dan hidayah dari-Mu. Tunjukkanlah aku jalan yang benar, yang sentiasa diredhai oleh-Mu. Lindungilah aku dari segala mara bahaya dan petaka, lindungilah aku dari gangguan dan hasutan syaitan yang direjam, jauhilah aku dari perkara-perkara mungkar. Kau teguhkanlah imanku, tingkatkanlah ketakwaanku. Permudahkanlah segala urusanku, berkatilah segala usahaku. Semoga hidup matiku kekal dalam ad-Din-Mu, dan semoga aku dapat menjadi umat Muhammad yang sejati. "

Malam merangkak pergi. Kasihku bertaut kembali. Air mataku menyapu pergi segala resah yang membelenggu diri. Jiwaku tenang dibelai kasih-MU. Dan kini kuberjanji pada diri sendiri akan teguh mengasihi-Mu sehingga ke akhir hayatku. Sesungguhnya, kasih-Mu kasih yang sejati. Seteguh kasih ILAHI.