SETEGUK KASIH ILAHI... |
Kalau hari ini cuaca mendung, kalau hari ini hujan turun.....aku mengeluh.... "Alamakkk,hujan pulak. Macam mana baju nak kering.... macam mana nak naik motor pergi kerja ni". Kalau hari ini cuaca panas terik, aku mengeluh juga. "Ish...panasnya..membahang..kalau hujan kan best". Namun DIA setia melayani kehendakku sepanjang masa, tidak mengira cuaca, tidak mengira masa.
Hari ini kuperolehi gaji pertamaku bekerja. Alhamdulillah.... dapat juga aku merasakan keluarga kegembiraan ini. Dapat juga aku merasai jerih payah mencari rezeki jika selama ini aku sentiasa diimbuhkan kesenangan. Namun sedikit cuma kuingat pada-Nya. Teringat aku ketika menganggur dulu... DIA tempatku mengadu. Mengapa payah sangat untukku mendapat kerja, mencari rezeki.
DIA lah kekasih sejatiku, sentiasa menenangkan aku bila kesusahan. Apabila aku bersedih, kusembamkan kemurungan disisi-Nya. DIA tak pernah menolak kehadiranku, malah disambutnya dengan mesra sepanjang masa. Pengaduanku tak pernah gagal, pasti ku kembali dengan hati yang tenang dan bahagia. DIA sememangnya kekasih yang hebat.
Namun kini, apabila aku bekerja.... aku mula dihimpit kesibukan. Mula diralit keseronokan tugas dan rakan-rakan. Aku dan DIA mula berjauhan. Semakin jarang pengaduan yang kuucapkan padanya. Semakin jarang aku berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan-Nya.Semakin jauh kutinggalkan-Nya. DIA hanya memerhatiku dari jauh. Malah aku semakin melupakannya. Suruhan-Nya, nasihat-Nya kadang-kala kutinggalkan semata-mata kerana keletihan dengan tugas seharian. DIA semakin menjauh hanya kerana aku meminggirkan-Nya. Kasih dan sayangku terhakis sedikit demi sedikit. DIA tak pernah marah. DIA tak pernah merajuk. DIA tetap setia denganku. Keperluanku tetap terjaga rapi. Kehendakku seringkali dipenuhi. Hanya aku yang lupa diri. Begitu mudah aku melupakan-Nya namun kasih-Nya sedikitpun tidak berubah. Sayang-Nya kepadaku ampuh seperti dulu.
Bila kesusahan kembali menerpa, aku tersentak seketika. Ingatanku padanya kembali semula. Kerinduan menjelma lagi. Dengan rendah hati, aku kembali pada-Nya. Mengadu kasih, rindu, kesulitan dan segalanya pada-Nya. DIA setia di situ, menantiku kembali. Begitu mudah dia memaafkanku. Begitu mudah DIA menerimaku tanpa sekelumit rasa benci. Tulus-Nya kasih-Mu mendamaikan hatiku. Di sisi-Nya, aku rebah kembali. Menginsafi kealpaan diri. DIA masih sudi menerimaku, jelas kasih-Nya tidak bertepi. Hanya aku
insan yang mudah lupa diri. Kasih-Nya kasih yang sejati, kasih-Nya tulus dan hakiki. Di subuh yang mendamaikan, dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia, ku sucikan diri. Ku lengkapi diri untuk menghampiri-Nya semula, meneguk dingin kasih-Nya seperti dulu.
"Ya Alllah..... aku hamba-Mu yang alpa. Ampunilah kesilapanku. Sucikanlah hatiku dari titik-titik hitam noda dan dosa. Terangkanlah hatiku agar aku sentiasa mendapat Syafaat dari-Mu".
"Ya Allah, kusyukuri nikmat dan rezeki yang telah KAU limpahkan kepada-Ku. Janganlah KAU tarik segala nikmat itu kerana aku amat memerlukan-Nya."
"Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkanku keluarga yang bahagia, insan-insan di sekitar yang begitu menyayangiku serta ibu bapa yang penyayang . Kau peliharalah mereka dengan baik, malah lebih baik daripada mereka memeliharaku . Cucurilah rahmat-Mu kepada semua yang telah banyak berjasa kepadaku."
"Ya Allah, dengan hati yang tulus, kumohon kemaafan dari-Mu. Ampunilah segala kealpaanku, ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya, KAU tetap mengingatiku walaupun aku melupakan-Mu.Ku mohon petunjuk dan hidayah dari-Mu. Tunjukkanlah aku jalan yang benar, yang sentiasa diredhai oleh-Mu. Lindungilah aku dari segala mara bahaya dan petaka, lindungilah aku dari gangguan dan hasutan syaitan yang direjam, jauhilah aku dari perkara-perkara mungkar. Kau teguhkanlah imanku, tingkatkanlah ketakwaanku. Permudahkanlah segala urusanku, berkatilah segala usahaku. Semoga hidup matiku kekal dalam ad-Din-Mu, dan semoga aku dapat menjadi umat Muhammad yang sejati. "
Malam merangkak pergi. Kasihku bertaut kembali. Air mataku menyapu pergi segala resah yang membelenggu diri. Jiwaku tenang dibelai kasih-MU. Dan kini kuberjanji pada diri sendiri akan teguh mengasihi-Mu sehingga ke akhir hayatku. Sesungguhnya, kasih-Mu kasih yang sejati. Seteguh kasih ILAHI.
nice blog :)
ReplyDelete